Resolusi 2018




Hari jumaat yang pertama di tahun 2018. Hujan lebat membasahi bumi Bagan Serai. Sejuk, basah diri dan juga hati. Resolusi 2018...? Urmm... tersentuh dengan tulisan daripada seorang kakak., tulisnya lebih kurang begini...bicara soal Pengorbanan..

"Sesebuah rumahtangga yang bahagia itu pasti ada insan di dalamnya sedang ada berkorban...sama ada suami atau isteri atau kedua-duanya...Pengorbanan ini bukan untuk terkorban, tetapi untuk membina kebahagian yang berpaksikan cinta dan kasih sayang kepada Allah dalam membentuk rumahtangga sebagai ladang pahala"
 - kakak nur salbiha-

Mungkin juga dalam ikatan persahabatan ataupun persaudaraan..kerana semuanya menuntut pengorbanan yang pastinya perlu lahir dari hati yang IKHLAS supaya di kemudian hari tiada hati yang 'terkorban'. Pengorbanan yang dilakukan dengan keterpaksaan pastinya akan menghasilkan sebuah pengakhiran yang keruh. 



Setahun sudah kami di sini. Ada manis ada pahit.. Bila mendung, datang hujan kemudian pelangi. Bukan sesuatu yang mudah tetapi pertolongan Allah tersangat banyak buat kami. Daripada pencarian rumah sewa, taska anak2, menyesuaikan diri di tempat kerja banyak dipermudahkan Allah walaupun awalnya penuh jerih. Dikelilingi orang-orang yang sangat baik dan sentiasa memudahkan urusan antara rahmat terbesar yang Allah kirimkan, bila terpaksa bermaustatin di tempat asing hanya dengan anak-anak tanpa suami, ibu bapa mahupun adik-beradik di sisi.
 
Awal-awal kedatangan kami di sini, cuti banyak dihabiskan kerana anak-anak sering sakit, demam, terkena HFMD yang memaksa saya menggunakan cuti kuarantin, lepas kebah tidak berapa lama demam lagi. Sehinggakan saya bingung sendiri...dan akhirnya saya tersedar rupanya bukan saya seorang sahaja yang terkesan dengan perpindahan ini. Saya hampir terlupa yang saya juga telah mengheret anak-anak saya untuk menempuhi perubahan 360 darjah ini. Mungkin mereka sedang berbicara dengan saya tanpa kata. Membiasakan diri tanpa ada insan-insan yang selama ini di sisi mereka mungkin satu kejutan baru buat mereka. Mana papa, mana nenek, tok abah, ibu, aleesya???? Antara soalan yang keluar daripada mulut mereka dan juga walaupun beratus kali saya menjawabnya, soalan yang sama tetap akan ditanya.


Ombak dan gelombang. Alhamdulillah Kulli Haal


Bila memikirkan keadilan dan hak  anak-anak yang saya nafikan...hati memang tersangat pedih. Saya seorang ibu. Saya juga seorang isteri dan saya juga seorang anak yang mempunyai ibu dan bapa yang masih hidup. Tetapi saya tetap perlu melangkah. Adakah ini pengorbanan saya seorang??? Tidak...saya menyedari suami saya juga sedang berkorban... Saya nampak air matanya menitis dan  sayu setiap kali kami berpisah. Saya tau dia juga beribu kali ganda lebih pedih. Tanpa isteri dan anak-anak di sisi. Saya mengerti dia sedang bertahan dengan kuat dari jatuh demi kami. Saya mengerti jiwa raganya turut terseksa tetapi demi tidak menghampakan cita-cita saya....dia memilih untuk BERTAHAN dan meminta kami juga untuk BERSABAR.

Bagaimanakah hari esok??? Namun saya menyerahkan kepada Yang Esa untuk memandu perjalanan kami akan datang. Sejauh mana kami mampu bertahan. Tahun 2018 moga yang terbaik. Moga kami sentiasa menjadi orang yang redha dan bersyukur untuk setiap keputusan dan pilihan dariNya. Semoga hari-hari yang bakal kita semua lalui menjadikan kita insan yang lebih baik dan Allah menilai setiap pengorbanan kita untuk menjadi orang yang berbakti kepada agama, bangsa dan negara...


Dedicated to my partner in crime, my husband and two beloved daughters

Comments

Popular posts from this blog

Rumah Transit Putrajaya

Sayur petola masak lemak dengan fucuk dan suhun

Jalan-jalan cari makan Bagan Serai Perak