Hari yang ke-100 di Bagan Serai, Perak.
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW dan keluarga serta para sahabatnya.
Entri blog pertama ini saya tujukan buat suami yang disayangi, Mohammad 'Afifi dan kedua-dua anak perempuan saya iaitu Iman Inshirah dan Khaira Khadijah.
Pada 26 Disember 2016, hari pertama saya melapor diri di Kolej Komuniti bagan Serai. Saya ditempatkan semula didalam perkhidmatan setelah tamat melanjutkan pengajian di Universiti Putra Malaysia. Ini merupakan Kolej Komuniti yang ke-3 saya berkhidmat sepanjang bergelar Pegawai Pendidikan Pengajian Tinggi (PPPT). Saya memulakan perkhidmatan pada tahun 2008 di Kolej Komuniti Arau Perlis dan pada tahun 2012 saya berpindah di Kolej Komuniti Jelebu kerana mengikuti suami saya yang menetap di Kajang. Pada tahun 2014, saya memohon biasiswa Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) untuk menyambung pelajaran di dalam bidang Teknologi Makanan. Pengajian selama setahun yang bermula pada September 2016 telah berjaya saya tamatkan dan Alhamdulilah telah selamat berkonvo pada 28/10/2016.
Hari ini hari yang ke-100 transisi kehidupan saya yang kini berada di Bagan Serai, Perak. Memulakan kehidupan berjauhan dengan suami yang tersayang dan ditemani dengan anak-anak kerana tuntutan tugas dan tanggungjawab. Saya cintakan kerjaya saya dan saya juga cintakan keluarga saya. Tanyakan kepada sesiapapun yang bergelar isteri dan ibu pasti mahukan untuk sentiasa disisi suami dan anak-anak tersayang. Ini keputusan yang teramat sukar. Saya mengerti dan memahami bahawa perjalanan kehidupan setiap orang tidak sama. Inilah yang saya pilih dan inilah yang terpaksa saya tempuh. Allah telah menentukan sesuatu yang terbaik buat saya dan pasti ada hikmahnya.
Namun, ini bukan sesuatu yang mudah untuk saya lalui dan saya akur untuk setiap titisan air mata yang mengalir. Saya manusia biasa yang punyai rasa. Saya mengenang kembali kehidupan yang pernah saya lalui, yang ada masanya saya bersendirian, dan adanya suka dan duka. Sukar untuk diterjermahkan dan susah untuk diceritakan, namun untuk tempoh 4 tahun saya bersama suami dan dikelilingi keluarga mertua di Kajang, ia merupakan satu anugerah Allah buat saya. Saya bersyukur untuk dikelilingi orang-orang yang baik disisi saya. Tiada insan yang sempurna kerana saya juga tidak sempurna untuk mengharapkan kesempurnaan tetapi ia sudah memadai buat saya untuk menumpang kasih sayang daripada mereka buat saya yang telah kehilangan arwah abah pada usia 18 tahun.
Saya sangat menghargai ibu dan bapa mertua saya yang menerima dan menyayangi saya seadanya walaupun saya tiada setitis pun hubungan darah dengan mereka. Saya bukan sesiapapun namun saya dapat merasai kasih sayang dan perhatian daripada mereka. Bagaimana saya boleh lupakan mereka terutamanya ibu mertua saya yang menjaga saya semasa didalam pantang sepanjang dua kali saya melalui tempoh bersalin dan berpantang. Ibu mertua yang saya panggil mak inilah yang menyediakan makanan, minuman dan air mandian saya. Disaat badan saya sakit, mak lah yang mengurut belakang badan saya. Walaupun didalam anak matanya saya nampak kelelahan dan kepenatanya betapa mak masih mahu melakukan untuk saya. Belum ditambah lagi kisah pengajian saya yang turut saya heret orang-orang lain disekeliling saya yang turut berkorban demi saya meraih segulung sarjana. Allah..takkan terbalas segala kebaikannya buat saya. Hanya doa dan bacaan Al-fatihah yang mampu saya titipkan buat mereka.
Meniti pada usia 33 tahun, beberapa kali langkah saya terhenti untuk menoleh perjalanan ke belakang. Seolah-olah mengharap agar masa berhenti berdetik seketika mohon ruang untuk saya muhasabah kembali. Banyak waktu lalu yang saya sia-siakan. Banyak harapan yang telah saya hancurkan, banyak dosa yang telah saya lakukan dan mungkin banyak juga hati-hati yang telah saya kecewakan. Sempatkah saya meniti kembali? Mengejar kembali segala yang telah saya lepaskan waktu ketika dahulu. Kuatkah saya lagi? Pastinya saya memasuki tahun 2017 dengan 1001 harapan yang menggunung tinggi.
Ini blog pertama saya. Blog ini merupakan curahan hati saya untuk saya menulis segala harapan-harapan saya. Segala jatuh dan bangun saya. Dan juga moga menjadi penguat dan pemangkin semangat untuk terus saya bangkit menabur bakti kepada anak bangsa dan menjadi anak yang berbakti buat umi, mak dan abah, isteri yang solehah dan ibu yang baik. Saya pohon doa pada Allah SWT moga diberikan kekuatan dan kesihatan daripada segala sudut untuk saya mampu menguruskan anak-anak saya tanpa suami disisi. Mohon padaNya untuk menjaga kami di sini, tempat asing buat kami tetapi bumi yang sangat indah untuk kami terokai dan cintai. Dan moga Allah menyatukan kami kembali di dalam sebuah keluarga yang pernah kami lalui dahulu. Saya berdoa semoga di dalam tempoh ujian ini kami dapat melalui dengan penuh kesabaran dan kekuatan hati dan jiwa. Ameen.
Aku doakan ko sentiasa kuat dgn ujian ni..bahu yg memikul lg brt dr mata yg memandang..awan xsentiasa mendung,pasti akan ada sinar dan hamparan pelangi indah bt ko..
ReplyDelete