Kakak saya



Saya dilahirkan dan dibesarkan tidak mempunyai seorang kakak. Menurut umi saya kakak kandung saya cuma bertahan beberapa hari sahaja dan meninggal dunia akibat masalah jantung. Semasa di sekolah lagi saya teringin sangat bila tengok kawan-kawan bercerita pasal kakak masing-masing. Ataupun berjalan pulang sekolah bersama kakak. Mungkin Allah makbulkan permintaan saya dengan mengurniakan kedua-dua anak saya perempuan. Saya berharap kelak mereka membesar menjadi sahabat baik. Walaupun sekarang ini kerja bergaduh, menggigit dan menarik rambut..sighhhh...

Saya diposting di Kolej Komuniti Arau Perlis pada tahun 2008. Disanalah saya mengenali wanita ini yang saya anggap kakak. Namanya Alina Mas Ayu. Hari itu, 11/03/2015 pada masa 3.40 pagi beliau kembali ke tempat abadi. Tempat yang telah dijanjikan Allah SWT dan pasti dilalui setiap insan. Beliau pergi meninggalkan suami dan empat orang zuriat serta orang-orang yang sangat menyayanginya. Pastinya saya meyakini Allah mengambil beliau pada saat kedudukan imannya yang tertinggi. 

Mengimbau kembali detik perkenalan kami. Kami dipostingkan bersama-sama. Dia berasal dari Pahang dan sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak (ketika itu). Saya pula budak 'fresh grade' yang baru pertama kali mengenal dunia luar yang sebenar dan alam pekerjaaan. Sebagai orang baru dan berada di tempat baru dengan suasana dan orang-orang sekeliling yang baru banyak membuat saya sedikit kejutan. Saya seorang yang agak pemalu dan boleh dikategorikan sebagai introvert. Tak pandai bersosial dan tidak mempunyai ramai kawan. Boleh dikatakan profesion saya sekarang inilah yang banyak membentuk diri saya pada hari ini. Dan arwah seorang yang sebaliknya, namun arwah tetap memilih untuk bersama saya dalam banyak perkara. 
Awal tahun 2009 di Kolej Komuniti Arau Perlis, seronok mencuba kamera laptop arwah kak mas yang baru.

Tempoh selama empat tahun mengenalinya (2008-2012) mengukir banyak sangat kenangan bersamanya. Malah peribadi saya hari ini juga cuba mencedok sedikit sebanyak keperibadian mulia arwah. Beliau sangat baik, suka membuat orang ketawa dan menggeletek hati setiap orang yang mengenali. Sampai saya terfikir dari planet manakah dia ini. Bukan sahaja dikalangan kawan tetapi pelajar-pelajar cukup menyayanginya. Setiap kali ada cerapan pensyarah oleh pelajar-pelajar markah yang diperolehinya hampir 100% malah penuh. Setiap tindakannya ada hikmahnya. Sungguh orang yang istimewa ini sekejap sahaja Allah pinjamkan. Saya suka melihat arwah menjaga dan menyayangi anak-anaknya. Dan hari ini saya cuba dan berusaha untuk melakukan perkara yang sama buat anak-anak saya.


Beliau yang memakai tudung warna hijau dan kami mesti setia bersebelahan.

Ibarat seperti adik beradik yang lain, ada masanya hubungan kami seperti air laut ada pasang dan surutnya. Kami berbaik dan kami juga bergaduh. Kami ketawa dan kami juga menangis. Saya masih ingat melihat mukanya yang suram dan air matanya yang tumpah. Saya masih ingat bagaimana saya rasa begitu sedih dan dialah tempat untuk saya berkongsi. Saya masih ingat raut wajahnya yang gembira apabila saya sudah bertunang dan telah diijabkabulkan. Atas nasihat dia juga lah saya buat pelamin perkahwinan saya. Katanya itulah kenangan seumur hidup yang akan dikenang.

Pertama kali belajar pakai shawl bersama-sama dengan arwah pada masa kursus tahun 2011.


Arwah seorang yang sangat baik dan tidak lokek dengan ilmu yang dia tahu. Ada beberapa resepi milik arwah yang saya simpan dan akan saya kongsikan di sini. Kami bercadang untuk menerbitkan modul tetapi tidak terlaksana. Moga pahalanya akn terus bersambung sehingga kepadanya. Mohon pembaca untuk sedekahkan Al-fatihah buat arwah. Malah kesungguhan saya untuk menyambung pelajaran adalah bermula daripada arwah.
Detik terakhir kami bekerjasama dalam satu kumpulan dan kami mendapat tempat ke-2 Pertandingan Inovasi pada tahun 2012.

Beliau sudah tiada. Tetapi beliau sentiasa 'hidup' didalam hati orang-orang yang menyayanginya. Buat anak-anak arwah, along, anis, affan dan amirah auntie fisa doakan kamu semua akan jadi sehebat dan sekuat mama. 

...................................................................................................................................................................
Allahuakbar...masih terbayang-bayang segala-gala denganmu duhai kakak,

Allah izinkan aku merasa kasih sayangmu, berkongsi gelak tawa dan air mata bersamamu. Kata-katamu penuh ibrah dan nasihat..sungguh aku sangat terkesan kehilanganmu..Ya Allah, tempatkanlah kakakku ini didalam golongan orangyang beriman..sungguh..dia sangat baik dan aku teramat sayang padanya...

Innalillahi wa inna ilahi rajiun.

Comments

Popular posts from this blog

Rumah Transit Putrajaya

Jalan-jalan cari makan Bagan Serai Perak

Sayur petola masak lemak dengan fucuk dan suhun