Buat umi dan mak, dua wanita utama



Siapa dua wanita utama dalam hidup saya? Tentulah ibu yang telah melahirkan saya ke dunia iaitu umi dan ibu yang telah melahirkan kekasih hati saya iaitu ibu mertua yang saya panggil mak. Mereka merupakan dua wanita istimewa yang bertahkta di dalam jiwa. Mereka dua wanita penting yang menjadi sumber inspirasi saya yang tanpa sedar saya banyak mencedok sikap dan sifat mereka. Walaupun bergunung emas pun saya hamparkan buat mereka belum tentu mampu dapat membalas segala kebaikan-kebaikan yang telah mereka berikan buat saya. Saya belum pernah menulis buat mereka kerana segala-galanya saya simpan jauh di sudut sanubari, Berkesempatan hari ibu, 14 mei hari ini, ingin saya kongsikan segala kebaikan mereka untuk saya serap di dalam diri saya moga dapat saya curahkan kepada anak-anak dan bakal menantu saya. (InsyaAllah)

Tidak perlu saya bandingkan kedua-duanya, kerana mereka sememangnya dua wanita yang berbeza, berbeza luaran daripada segala segi tetapi ikhlas mencintai dan menyayangi saya sebagai seorang anak. Ya, mereka juga tidak sempurna, tetapi ketidaksempurnaan itulah menjadikan mereka istimewa dan itulah cuba untuk saya santuni. Umi memilih untuk hidup sendiri tanpa mahu menyusahkan anak-anak dan keluarganya, sedangkan mak sangat bertuah dikelilingi suami, anak-anak dan menantu disisnya. Tentulah ini merupakan dua kisah yang berbeza dan dua cerita hidup yang tidak sama. Setelah saya melalui tempoh yang perit ketika mengandung, bersalin dan berpantang menjadikan saya insaf. Insaf akan pengorbanan seorang ibu yang bernama umi dan mak ini, yang mungkin pernah saya pandang sepi sebelum ini. Entah berapa banyak air mata mereka yang gugur disebabkan saya. Entah berapa banyak salah saya lakukan tetapi mereka masih tetap melayan saya dengan baik...teramat baik. 


Berbicara tentang umi, sehingga ke hari ini saya tetap rasa bersalah kerana banyak impiannya yang belum mampu saya tunaikan, ingin sekali saya balut kekecewaannya dengan sesuatu yang saya harap dia dapat lupakan segala sisi hitam saya. Saya mengakui setelah pemergiaannya arwah abah, umi melalui proses yang sukar dan ditambah dengan depresi yang dalam. Kehidupan tanpa suami disisi dan pada masa yang sama menghadapi kerenah dan keperluan anak-anak yang sedang membesar ketika itu bukanlah sesuatu yang mudah. Saya juga masih ingat saat dia terpaksa mengadaikan segala emas miliknya untuk pendidikan kami. Saya dan dia juga pernah melalui tempoh dingin saat saya suarakan untuk hidup berumahtangga. Konflik demi konflik. Saya memahami dia mahukan yang terbaik untuk saya mengikut perkiraanya dan terlalu risaukan akan kehilangan anak perempuannya. Mana mungkin saya akan melupakan sumpah dan janji yang saya lafazkan untuk tidak akan mengabaikannya jauh sekali meninggalkannya kerana umi ibarat nyawa kedua bagi saya. Sehingga ke saat ini, ummi masih tetap membisikkan segala impiamnya untuk saya dan kata-kata semangatnya untuk saya terus terbang..terbang tinggi menggapai awan.

Mak...saya bertuah mengenalinya. Saya  bersyukur kerana Allah kurniakan seorang wanita yang suci dan kuat ini untuk saya menumpang kasih. Saya tau saya bukanlah menantu yang sempurna kerana sifat azali saya yang memendam rasa, pendiam dan pemalu banyak membataskan hubungan kami pada awalnya dan mungkin juga kini. Saya juga bukan penglipur lara yang mampu untuk menghiburkan hatinya atau membuka gelak tawanya. Malah ditambah dengan bebanan kerja dan keadaan sekeling yang agak melelahkan turut menyebabkan saya kurang mampu memberi ekspresi dan perhatian yang sewajarnya kepadanya. Saya tahu bukan itu yang dia pinta dan harapkan daripada saya. Namun, disebalik kekurangan-kekurangan saya itu, mak masih melayan saya dengan baik malah saya cukup terharu kerana mak masih berusaha sehingga ke hari ini untuk menjadikan saya seorang 'anak' bukan seorang 'menantu'. Mak...dia yang memeluk saya saat saya takut dan risau yang mendalam. Dia ada disisi saya dengan sangat dekat untuk menenangkan segala kerungsingan dan kecelaruan saya lebih-lebih lagi selepas bersalin dan semasa tempoh berpantang.

Saya berdoa semoga Allah memanjangkan usia mereka untuk melalui hari-hari yang mendatang dalam kesejahteraan dan kebaikan. Saya berdoa semoga Allah izinkan saya dan suami dapat menjaga dan berbakti kepada mereka sehingga ke hujung usia kami.

Terima kasih umi. Terima kasih mak. Selamat hari ibu, setiap hari untukmu. 

Comments

Popular posts from this blog

Rumah Transit Putrajaya

Jalan-jalan cari makan Bagan Serai Perak

Sayur petola masak lemak dengan fucuk dan suhun