Happy 5th anniversary, husband

27 Mei 2017- Hari pertama ramadan untuk tahun ini (syukur padaMu Allah atas peluang ini). Lima tahun yang lalu pada tarikh itulah hari kami disatukan...hari disatukan cik singgang ikan dan encik risotto..hehehe;-) Saat termetrainya satu ikatan suci dan disatukan dua hati yang berlainan jiwa dan rasa. Mengimbau saat pertemuan kami, semuanya berlaku tanpa sengaja...kisah nekad seorang anak perempuan yang telah bergraduasi tetapi tidak mahu pulang ke kampungnya selagi tidak mempunyai kerja. Kisah seorang anak lelaki yang 'extend' pengajiannya dan mencari duit tambahan untuk membaiki komputernya yang rosak. Masing-masing merasakan itu tempoh keadaan yang menyusahkan dan merupakan tempoh 'survival'. Namun rupanya aturan Allah sungguh indah, di sebalik kesusahan dan kepayahan itu Allah tunjukkan hikmahNya. Pertemuan pertama kami di tempat 'cyber cafe' yang kami sama-sama mencari duit tambahan sekitar tahun 2007. 

Hubungan yang hanya kawan biasa itu terputus begitu sahaja sehinggalah pada tahun 2009 kami berhubung kembali di alam maya tanpa sengaja. Mungkin kedua-duanya merasakan ini keadaan yang terbaik dan sesuai untuk kami ke tahap yang lebih serius. Pada usia 25 tahun ketika itu, tentulah meletakkan perkahwinan adalah jalan terbaik yang kami rasakan. Namun, perjalanan kami tidak semudah itu. Penuh onak duri dan airmata. Tiada siapa yang perlu dipersalahkan, kerana ini memang takdir dan bahagian buat kami. Allah tidak pernah menzalimi setiap hambaNya malah yang berlaku sudah tertulis hikmahnya. Penantian kami tidak lama dan akhirnya pada tahun 2012, Allah menjawab segala doa dan hajat kami, kami selamat dijabkabulkan pada tarikh ini dengan restu kedua-dua ibu bapa kami.


Saya mungkin bukanlah bidadari sempurna buatnya. Malah cerita kami bukan juga kisah ideal seperti yang terpapar dalam telenovela ataupun drama. Sehingga ke hari ini kami masih struggle dalam mempertahankan hubungan ini. Semakin kami cuba untuk menyelami antara satu sama lain tetapi semakin banyak perbezaan yang kami temui. Perbezaan ini merangkumi banyak perkara termasuklah daripada segi genre muzik, filem atau drama, minat ataupun pakaian. Dia punya kelebihan mengigati segala nombor yang berkaitan dan tarikh-tarikh penting kami namun saya adalah sebaliknya. Perbezaan yang cukup ketara  bila kami keduanya mempunyai citarasa makanan yang berbeza. Sebagai anak kampung yang dibesarkan dengan persekitaran kampung tentulah makanan seperti petai, jering, ikan bilis, sambal belacan, tempoyak, singgang ikan dan banyak lagi antara beberapa contoh makanan kegemaran saya tetapi makanan itulah yang paling tidak disukainya. Dia lebih suka memilih makanan yang temporari dan moden. Pastinya air tangan saya bukanlah magik untuknya walaupun saya cuba, dan singgang ikan tidak akan mungkin bertukar menjadi risotto...hehehe;-D

Setelah bersalin anak pertama dan diikuti anak kedua yang agak rapat, saya akui saya mengalami post partum depression mungkin tidak kritikal tetapi cukup menyebabkan saya mengalami gangguan emosi yang tidak stabil. Ditambah dengan persekitaran baru, perjalanan ke tempat kerja yang memakan hampir 120 km setiap hari, tanggungjawab baru dan mengendalikan usia perkahwinan yang baru setahun jagung, diri saya seolah-olah terperangkap di dalamnya. Tentulah tempoh itu bukan waktu yang terbaik buat saya sama ada daripada segi kerjaya mahupun peribadi. Saya seperti hilang diri saya. Berapa ramai yang datang dan pergi malah menjauh. Namun, dia yang tetap berada di sisi saya. Dengan kesabarannya yang hanya setipis kulit bawang itulah dia masih cuba untuk setia bersama dan memahami saya. Saya sedar saya tidak perlukan beribu persamaan untuk hidup bersamanya namun mengenalinya sebagai insan yang dapat menerima satu demi satu kekurangan saya merupakan satu rahmat terbesar buat saya.


He is a man of few words. Secara zahirnya dia bukanlah lelaki yang penuh dengan kata-kata manis, pujukan, jauh sekali seorang yang romantis mahupun yang penuh dengan 'suprise' yang menjadi idaman setiap wanita. Ya, dia cuma lelaki biasa, Lelaki biasa buat wanita biasa seperti saya. Namun, saya menyedari dia berusaha untuk menjadi yang terbaik buat saya tanpa dipaksa. Dia berusaha untuk mengembirakan hati saya dan membuat saya untuk bahagia. Dia tahu setiap gelisah hati saya walaupun sedaya mungkin saya cuba untuk menyembunyikannya. Dialah tulang belakang utama saya saat saya berjuang untuk menghabiskan pengajian sarjana saya dengan menguruskan segala keperluan anak-anak tanpa saya disisi. Saya terpaksa akui pengorbanannya yang ikhlas dengan memberi ruang dan peluang seluas-luasnya buat saya walaupun tanpa sedar saya telah mengabaikannya. Saat itu saya sedar betapa kasih dan sayang tidak perlu dilafazkan semata-mata, bukan juga dengan jambangan bunga ataupun coklat tetapi boleh ditunjukkan di dalam pelbagai bentuk.

Dia lelaki yang bukan menunjukkan kasih sayangnya secara terang-terangan kepada saya malah begitu juga kepada ibu, bapa dan adik beradiknya. Tetapi saya mengerti dia sangat menyayangi saya dan juga kepada keluarga terutama ibunya. Dia akan cuba selesaikan setiap masalah ibunya tanpa pengetahuan ibunya. Baginya melafazkan kata-kata itu tidak penting dan dia memilih dengan tingkah laku. Mungkin itu kelemahannya yang kadangkala selalu menimbulkan kekeliruan buat saya. Ini mungkin timbul apabila kami tidak berupaya mentafsir apa yang ada sebenarnya di dalam fikiran masing-masing. Benarlah ajaran Rasulullah, berbaik sangka itu adalah kunci untuk sebuah perhubungan yang sejahtera. Namun, kelemahannya itu mungkin juga boleh menjadi satu kelebihan buatnya. Daripada situ saya sedar dia seorang yang bertanggungjawab dan seboleh mungkin cuba menunaikan tanggungjawabnya sebaik mungkin buat saya ataupun buat keluarganya. Jadi menikahi seorang lelaki yang bertanggungjawab bukankah satu rahmat dan anugerah bagi seorang wanita? Ya, saya bersyukur. 



To my dear husband, saya wanita biasa yang kadangkala sukakan bunga ataupun coklat. Tetapi menjangkau usia perkahwinan kita ini hari ini dan melewati usia yang lebih matang saya mula menyedari saya tidak perlukan itu semua, saya juga tidak memerlukan wang kamu untuk saya hidup mewah bagi menilaikan kebahagian saya. Kebahagian saya bukan lagi terletak kepada itu semua untuk dijadikan ukuran, namun yang paling utama apabila kita dapat memiliki hati yang saling menyayangi, menerima dan memberi kerana Allah dengan ikhlas tanpa mengharapkan apa-apa. Saya bukan melaikat yang suci yang dijadikan daripada cahaya, saya juga bukan sehebat Khadijah kesayangan Rasulullah, dan bukan setabah Siti Hajar. Oleh itu, saya mengharapkan ribuan ampun kepadamu untuk segala dosa-dosa yang saya ketika sedar ataupun tidak. Semoga kita dapat dapat disatukan kembali, menyelusuri usia tua kita bersama-sama dan berusaha menjadi hamba dan khalifah Allah yang lebih baik. 

.....................................Selamat hari ulangtahun sayang, hari kita, dan tentang kita...............................


Comments

Popular posts from this blog

Rumah Transit Putrajaya

Jalan-jalan cari makan Bagan Serai Perak

Sayur petola masak lemak dengan fucuk dan suhun