S.A.H.A.B.A.T- Antara rasa untuk menyayangi atau disayangi

Kehidupan ini ternyata persinggahan sementara, sepanjang perjalanan ini Allah ketemukan kita dengan pelbagai resam manusia dan warna-warni kehidupan. Adakalanya kita jatuh dan kita cuba bangkit. Setiap kali kita cuba untuk bangkit, pasti ada tangan-tangan yang cuba untuk turut sama memaut tangan kita untuk lebih erat. Tetapi, kita juga tak bisa menolak kenyataan ada juga yang cuba untuk menolak kita jauh ke belakang...untuk terus tersungkur. Itulah hakikat, kehadiran seorang kawan dan juga lawan. 

Saya manusia introvert, seorang yang agak pendiam, pemalu dan suka menyendiri. Pada awalnya saya bercita-cita untuk menjadi penyelidik, kerana berada di makmal seolah-oleh memberi kedamaian buat saya. Namun, mungkin berkat doa seorang ibu yang mahukan anaknya menjadi pendidik, menjadikan saya di sini sekarang. sudah tentunya tempoh awal mengutip pengalaman pertama sebagai seorang pendidik merupakan tempoh sukar buat saya. Seorang gadis yang suka menyendiri, dan lagi menyukai berfikir daripada berbicara, dan terpaksa  berubah kepada seseorang yang  bijak berkata-kata sangat memerlukan saya melakukan transformasi hampir 360 C. 

Ya, saya seorang gadis biasa yang dibesarkan di dalam persekitaran sederhana, di kampung kecil di Besut, Terengganu. Bukan murid kegemaran, yang lansung tidak menonjol samaada di dalam kelas ataupun di luar kelas, tidak pandai bersukan mahupun segala aktiviti ilmiah. Hanya insan kecil yang mungkin kehadiranya tidak disedari langsung oleh sesiapa. Namun, pemergian arwah abah mula menjadi titik mula membawa perubahan langkah kehidupan saya. Pada usia 18 tahun, saat saya mula untuk mendongak langit, saya mula memahami erti sunyi, dan mula merasai sepi.... dan mula berfikir sejenak apakah yang saya inginkan sebenarnya? masih lagi kabur tetapi pertama kali saat itu saya belajar untuk sujud dan berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah untuk hadirkan insan-insan yang terbaik menemani perjalanan saya kerana saya mula rasa 'takut'...takut untuk mengatur langkah demi langkah ke hadapan.

Saya lebih senang berada di dalam linkungan kawan-kawan perempuan, berada di Sekolah yang persekitarannya hanya perempuan membentuk rasa malu sangat menebal buat saya. Dan rasa ini lagi menyukarkan perjalanan saya kerana banyak yang menjadi halangan dan turut membataskan kemampuan saya ketika berada di Universiti dan sehinggalah terbawa-bawa hingga ke alam pekerjaan. Namun, alhamdulilah saya bersyukur pada Allah kerana rasa itu juga sebenarnya banyak menjadi faktor pendinding untuk saya terutamanya bila berhijrah di tempat asing tanpa keluarga di sisi. Allah memakbulkan permintaan saya kerana semasa menyempurnakan pengajian sarjana muda, saya dipertemukan sahabat-sahabat yang suci dan bersih jiwanya, mencintai dan menerima saya kerana Allah. Tidak tersebut namanya setiap satu tetapi tetap wajah-wajah mereka tersemat di jiwa hingga ke hari ini. 

2006 -11 tahun yang lalu bersama umi dan sahabat-sahabat yang disayangi

Kini setelah hampir melepasi 9 tahun berada di alam pekerjaan saya hari ini (syukur Alhamdulilah atas ruang dan peluang ini) saya belajar terlalu banyak dalam pelbagai segi terutamanya di dalam aspek pembawaan diri sendiri dan juga persekitaran sekeliling. Saya bertemu dengan pelbagai rupa dan watak manusia yang saya ambil ibrah daripadanya. Saya tidak mempunyai ramai kawan jauh sekali deretan sahabat, boleh dikira namun saya sangat menghargai kewujudan insan-insan istimewa di hati saya ini. Ya benar, Allah kurniakan saya anak-anak dan suami, namun bagi saya kedudukan sahabat-sahabat saya ini mempunyai posisi istimewa di hati saya yang tempat dan kedudukannya tidak mungkin diganti oleh sesiapa.

2012- Terima kasih untuk kenangan ini

Kasih sayang tidak boleh dipaksa. Saya manusia biasa punya perasaan kasihkan orang, sayangkan orang namun rasa itu kadangkala rupanya tidak bersambut. Mungkin kifarah saya juga, ada orang yang juga kasihkan saya, memberi segala perhatian malah cintakan saya namun saya biarkan seperti angin lalu tanpa tiada rasa apa-apa. Kita memilih dan tanpa sedar juga rupanya orang lain pun turut untuk berhak memilih. Layakkah saya,? Saya mula insaf, saya mula meraikan persinggahan orang-orang di dalam hidup saya. Samaada orang itu menerimanya atau tidak, menghargainya atau tidak, saya belajar dan terus belajar untuk melakukan kerana Dia. Dia Yang Esa yang tidak pernah memilih malah setiap inci nikmat kurniaaNya dirasai oleh setiap hambaNya. Setiap kebaikan atau keburukan yang kita terima, tetap kena kuat untuk membalasnya dengan kebaikan...Allah...beratnya untuk ikhlas...

2013-2015 di Kolej Komuniti Jelebu saya belajar banyak perkara dan pastinya hadiah terindah Allah buat saya ialah mereka berdua yang menerima baik buruk saya dan saling meyayangi kerana-Mu.
Meniti kehidupan yang lebih matang, Allah temukan saya untuk mengenali ramai orang dengan ramai watak. Saya belajar erti persahabatan dan persaudaraan. Mencintai sahabat kerana Allah. Menyayangi insan-insan lain kerana Allah. Belajar untuk memaafkan dan cuba untuk membuka lembaran baru kerana Allah. Ada masanya kita dikelilingi orang-orang yang kita senangi, tetapi Allah hantar kita dikelilingi orang-orang sebaliknya. Pastinya ada hikmah yang Allah ingin tunjukkan buat kita.

Alhamdulilah syukur, meskipun saya sudah mempunyai keluarga sendiri, walaupun sudah tidak ketemu sahabat-sahabat rapat yang dahulunya sama-sama menangis dan gembira, namun segala doa sentiasa saya titipkan buat mereka, kerana mereka yang turut membentuk adanya saya hari ini. Saya masih lagi bertatih untuk belajar untuk menyayangi terlebih dahulu tanpa mengharapkan balasan. Saya belajar untuk memberi tanpa mengharapkan untuk menerima. Semoga Allah menemukan saya lebih ramai lagi insan-insan hebat dan mereka yang saling menyayangi antara satu sama lain kerana Allah. Hanya keranaNya. Tiada yang lain. 

Comments

Popular posts from this blog

Rumah Transit Putrajaya

Jalan-jalan cari makan Bagan Serai Perak

Sayur petola masak lemak dengan fucuk dan suhun