Catatan 29 ramadan 1439h
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera
Catatan duka untuk abah. Pagi sabtu 9/6/2018 sedang kami mengemas rumah dan pakaian untuk pulang berhari raya, husband dikejutkan panggilan telefon daripada keluarga di Kajang yang memaklumkan abah jatuh ketika solat subuh di surau berhampiran di rumah dan terpaksa di bawa ke Hospital Kajang. Hasil daripada pemeriksaan CT-Scan mendapati terdapat darah beku dan lebihan air di kepala abah dan memerlukan operasi segera. Abah terpaksa dipindah ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan khidmat pakar bahagian neuro di sana. Allah...ujian apakan ini ketika ini??? Abah sebelum ini sangat sihat dan apabila mendapat berita seperti ini seolah-olah kami seperti bermimpi.
![]() |
Abah semasa ditempatkan di wad ICU dan belum sedarkan diri lagi |
Tanpa berlengah, saya mencapai barang-barang yang perlu di bawa, sambil menyiapkan makanan buat iman dan khaira untuk di makan di dalam kereta dan mengemas apa yang patut. Kami terus ke HKL kerana menjangkakan abah akan dioperasi pada pukul 7 malam. Alhamdulilah, pukul 1 bergerak dari Bagan Serai dan kami tiba di HKL pada pukul 5 petang, sempat masuk ke dalam ICU bergilir-gilir melihat abah, dan berbuka puasa di sana. Abah dioperasi hampir pukul 9 malam, dan menunggu hampir 1 jam setengah untuk operasi mengeluarkan darah dan lebihan air di kepala, dan dalam pukul 11 malam kami dibenarkan melihat abah di ICU sekejap.
![]() |
Ruang menunggu para pengunjung untuk melihat pesakit |
Ketika ini waktu melawat dan kebanyakkan akan berada di tingkat atas.
Di sini tingkat paling bawah. Setiap sudut ruang ini sudah berpenghuni,
sesiapa sahaja boleh 'check in' di sini tanpa mengira agama ataupun
bangsa dan datangnya dari setiap pelusuk negeri. Di sinilah ruang
'rehat' sementara kami.
Di sinilah terhimpun segala kisah. Di
sini juga saya menyaksikan betapa besarnya pengorbanan seorang ibu
datang sehelai sepinggang dari Muar demi
menjaga anak perempuannya yang mengalami gegaran kuat dan pendarahan di
kepala serta masalah peparu. Dapat saya lihat setiap urat di wajahnya
betapa beratnya apa yang telah dilaluinya.
Betapa tabahnya seorang ibu dan ayah dari Melaka ini walaupun telah di
mamah usia masih tidur, makan, berbuka, sahur dan juga solat di sini
yang hanya berlapikkan tikar nipis demi menantikan anak yang akan
menjalani operasi di kepala akibat jangkitan kuman.
Masih juga
terngiang-ngian tangisan kesedihan seorang lelaki tua yang uzur yang
berkerusi roda berada di sebelah katil abah tatkala dia melihat anak
perempuannya di icu dengan bantuan mesin pernafasan dan wayar yang penuh
berselirat. Terus rasa sebak menyelubungi dada walaupun kami tidak
pernah mengenali.
Saat kami rasakan kami sudah cukup kuat untuk
berulang alik dari Kajang ke Hkl setiap hari, keluar pagi dan selepas
maghrib kami pulang. Namun, ada pasangan suami isteri dari Langkawi ini
sudah hampir 4 bulan berkampung di sini bagi merawat anak kesayangan
mereka untuk sembuh sediakala. Mereka cukup kuat dan tabah menyaksikan
banyak operasi yang terpaksa dilalui anaknya.
Ini hanya cebisan
kisah daripada ribuan kisah dan cerita yang datang ke sini. Kami tidak
saling mengenali namun kami bekongsi rasa yang sama. Kami saling
mendengar dan berkongsi dengan sabar dan tenang tanpa sedar mata kami
sudahpun berkaca. Adakalanya kami berkongsi tawa ketika saat menanti
penuh debar setiap operasi selesai, waktu atau giliran melawat walaupun
di dalam hati hanya Allah sahaja yang tahu.
Walaupun kami
datang ke sini dengan air mata, tetapi harapan kami untuk menyaksikan
sebuah keajaiban jauh lebih tinggi. Keajaiban untuk melihat abah kembali
tersenyum dengan usikan gelak tawanya. Sungguh kami rindu!!!!! Tetapi
Allah jua juga Maha Mengetahui. Ramadan kali ini pastinya tidak
akan pernah sama. Ramadan kali ini Allah hadiahkan jiwa kami untuk
mengutip sebanyak mana ibrah yang ada. Syawal bakal berganti dan
Aidilfitri tetap akan kami lalui seadanya tanda berakhirnya bulan
ramadan penuh berkah.
Moga Allah akan akan beri kesembuhan yang sempurna buat abah.
Bangunlah abah... Bukalah mata...Demi mak... Demi kami semua.
Comments
Post a Comment